Pages

Saturday, 10 December 2011

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Tajuk :  Menamakan bentuk-bentuk tiga dimensi.  
Kelas: Tahun 1
Bil Murid : 14 orang
Kekuatan
  1. Menggunakan pendekatan pembelajaran masteri iaitu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan di dalam satu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang seterusnya.  
  2. Pada sesi set induksi, saya telah berjaya memotivasikan murid untuk mengikuti isi pelajaran dengan membawa sebuah kotak besar yang berisi bentuk-bentuk tiga dimensi dan menyuruh murid meneka apakah isi di dalam kotak besar.  
  3.   Untuk langkah yang pertama pula saya menggunakan kemahiran menerang dengan menggunakan bahan-bahan maujud iaitu bentuk-bentuk tiga dimensi yang sebenar.
  4.   Pada langkah kedua pula kekuatan yang dapat saya lihat ialah dengan penggunaan gambarajah bentuk-bentuk tiga dimensi berkenaan.  Gambarajah yang disertakan dengan nama-nama bentuk itu sekali  dapat memperkukuhkan lagi kefahaman murid iaitu dari yang konkrit kepada yang abstrak.  
  5.   Kekuatan yang dapat saya lihat ialah murid terlibat secara aktif di dalam sesi soal jawab ini. 
  6.  Pada langkah pengukuhan pula, saya telah menyediakan lembaran kerja. Kekuatan yang ada di sini ialah penggunaan masa dapat dikurangkan dan mengikut segala perancangan.
  7. Pada langkah terakhir, saya telah menggunakan kaedah nyanyian yang amat menyeronokkan murid walaupun masih memerlukan panduan dari guru.
 Kelemahan
1. Aktiviti yang dianjurkan di dalam set induksi  kurang menyeronokkan murid
2. Kelemahan yang kedua pula  iaitu penerangan dengan menggunakan bahan maujud, bentuk piramid tidak disertakan.  Jadi ini adalah tidak memenuhi perancangan sebenar.  Ketiadaan bentuk piramid ini dalam bentuk bahan maujud akan lebih menyukarkan murid untuk memahami bentuk ini.
3.Kelemahan yang seterusnya  pula ialah pada langkah ketiga iaitu soal jawab berkenaan bentuk tersebut dalam gambarajah.  Ketika murid menjawab soalan dan memberikan jawapan yang salah, saya tidak memberikan galakan kepada mereka.  Saya terus memberikan soalan itu kepada murid lain untuk dijawab.  Ini menyebabkan kesan yang negatif kepada murid berkenaan, yang merasakan dirinya seperti tidak diperdulikan oleh gurunya.  Kelemahan yang seterusnya dikesan ialah pada langkah pengukuhan, 
4. Saya tidak memberikan aktiviti pengayaan kepada murid yang cerdas atau murid telah siap awal.  Ini akan menyebabkan murid-murid berkenaan akan membuat bising dan menggangu murid lain, kerana tiada lagi perkara yang mereka hendak lakukan.  Selain itu tidak ada juga aktiviti pemulihan disediakan untuk murid yang lemah.  Guru hanya menyemak dan membetulkan kesalahan. 

Langkah Mengatasinya 
  1.   Bagi kelemahan yang pertama iaitu pada  langkah set induksi, sepatutnya saya menggunakan kotak yang lain, atau paling tidak pun saya membungkus kotak itu dengan menggunakan kertas warna-warni bagi menarik perhatian murid.  Guru juga boleh memberikan pembayang kepada murid apakah benda di dalam kotak itu bagi membolehkan suasana bertambah seronok.  Murid yang memberikan jawapan yang betul boleh juga kita berikan hadiah yang berupa makanan atau peralatan sekolah sebagai peneguhan positif untuk mereka. 
  2.  Bagi kelemahan yang kedua pula, untuk mengatasinya ialah sepatutnya saya memeriksa dahulu bahan-bahan bantu mengajar itu adakah mencukupi sebelum masuk ke kelas.  Jika kita membuat senarai semak terlebih dahulu sudah pasti hal seperti ini tidak berlaku kerana sekiranya kita tertinggal bongkah piramid plastik itu, kita boleh menggantikannya dengan membuat bentuk piramid dari manila kad.  Apa yang penting ialah bentuk piramid itu dalam bentuk maujud atau konkrit. 
  3. Untuk kelemahan yang seterusnya pula ialah saya perlu memberi galakan pada murid yang menjawab dengan salah.  Saya sepatutnya mengolah semula soalan itu atau memberi klu atau pembayang kepada murid bagi memudahkan murid menjawab soalan berkenaan.  Ini penting dalam membentuk nilai dalam diri murid itu, walaupun dia tidak pandai, namun akhirnya dia mampu juga menjawab soalan.  Ini memotivasikan murid berkenaan untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran. 
  4.  Bagi mengatasi kelemahan yang seterusnya pula iaitu pada langkah pengukuhan, sepatutnya saya menyediakan aktiviti pengayaan untuk murid yang cerdas.  Sebagai contoh, saya boleh menyuruh mereka melukis bentuk-bentuk itu sendiri.  Ini akan memudahkan lagi murid mengingati nama-nama bentuk berkenaan.  Bagi murid yang lemah pula aktiviti pemulihan akan diberikan.  Contohnya latihan berupa mewarna bentuk-bentuk tiga dimensi itu boleh digunakan bagi memastikan murid tersebut tahu nama-nama bentuk berkenaan. 
  5.  Bagi mempertingkatkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran ini saya juga boleh mengapliksikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam bilik kelas.  Contohnya pada langkah kedua, saya boleh gunakan slaid “power point” bagi mewujudkan suasana yang lebih menyeronokkan.  Ini kerana persekitaran yang berwarna-warni pada slaid itu turut membantu dalam memotivasikan murid untuk belajar.  Selain itu pada langkah penutup, saya boleh gunakan radio sebagai bahan bantu mengajar.  Dengan iringan muzik, suasana nyanyian itu akan menjadi lebih seronok.

No comments:

Post a Comment